Seorang  lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah   Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang  diturunkan  sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi  Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera  Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya  seorang yang sangat  dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua  perempuan di semua alam.  Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat  berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih  kamu, dan membersihkan kamu, dan  Dia memilih kamu di atas semua perempuan di  semua alam'" (3:42).
Mariam,  ibu Nabi Isa,  telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada  Allah. Dia dipilih untuk  melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh  oleh seseorang lelaki. Dia adalah  seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran  Nabi Isa  merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa.  Kisahnya diceritakan di  dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula  dari kunjungan malaikat kepada  Mariam atas perintah Allah. Ketika itu,  malaikat menyerupai manusia dengan tanpa  cacat. Kemunculan malaikat  membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,  
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada  ayat  yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah  memberi nama kepada  putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh  Allah, dan dia (Isa) akan  menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil  berkedudukan dekat dengan Tuhan.  Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian  Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat  menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka   lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi  Muhammad  dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat  (tanda) bagi manusia,  iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah  juga  menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam  diwujudkan tanpa  ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada  ciptaan. Kedua-duanya dicipta  daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka  adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan  Kenabian
Isa  adalah seorang Nabi  dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang  rasul telah dilebihkan Allah  daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia  berkata-kata kepadanya, ada yang Dia  menaikkan darjat, dan bagi Isa,  Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta  mengukuhkannya dengan Roh  Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia  dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan  itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat  membeza-bezakan  Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu  Nabi Isa dipercayai oleh  sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak  Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap  macam Tuhan, yang berhak membuat  hukum agama.
Ajaran
Oleh   kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang  mengandungi  petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.  Selain menyuruh Bani  Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,  baginda mengesahkan kitab Taurat  yang diturunkan sebelumnya. Dua firman  Allah menjelaskannya di sini,  berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai  kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman  atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di  dalam Taurat dan al-Qur'an. 
Ketika   baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka  kedatangannya  adalah juga untuk memperjelaskan apa yang  diperselisihkan. Firman  Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda  juga memberitahu  tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda,  yang namanya akan dipuji. Ayat  yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut  setia
Seperti  Nabi atau Rasul  yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang  setia dan juga yang tidak  setia atau yang menentang.  Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah  dan kepadanya.  Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang  setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah.  Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu  juga bagi  pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad.  Semuanya menjadi  penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan  menyampaikan mesej-Nya. Firman  Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau  bagaimana pun,  pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti  selanjut untuk megesahkan  kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi  tenteram. Untuk itu mereka memohon  sebuah meja hidangan dari langit.  Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon  kepada Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah  mengabulkan  permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi  satu lagi mukjizat bagi  Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah  di dalam al-Qur'an, iaitu surah  kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain  daripada kelahiran  yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah  dikurniakan dengan beberapa  mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun  Nabi  Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada  berkata bahawa  Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad.  Kerana, seperti yang sudah  maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan  Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk  Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)  
Wafat
Tidak  seperti kepercayaan  sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa  disalib tetapi diangkat naik  ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah  wafat di bumi, namun bukan disalib.  Baginda telah wafat selepas  peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat  lain yang tidak  diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah   melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan  baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan  tetapi, sebahagian  daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka  telah membunuhnya disalib.  Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa  yang berlaku hanya satu kesamaan  sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah  wujud lagi  kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di  dalam al-Qur'an,  iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali  kedua. Itu tidak benar. (Sila  rujuk artikel Menanya  Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan  Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah   Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang  mengaku  pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau  berpaderi, atau sistem  berulama dalam agama. Sistem itu tidak  dianjurkan oleh Allah.  Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian,   antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau  anak Tuhan,  mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan  mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang  berbuat demikian telah terpesong  dalam kepercayaan lalu menjadi kafir.  Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu  bukti  telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan  mereka. Buktinya  adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi  Isa  dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia  makan tentu Dia  mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan  makanan yang tidak diperlukan  lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut  seperti yang terdapat di bahagian belakang  badan manusia atau haiwan.
Sekiranya   hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu  Tuhan  atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan  kepercayaan  mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya.  Mereka lupa menggunakan  akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu  sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah  menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada  Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan  menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung  lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi  Muhammad juga akan  ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat  juga. Baginda ditanya mengenai  sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an.  Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah  yang berlaku pada  hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun,  masa masih ada untuk semua  kembali kepada ajaran al-Qur'an.
 
 
 
 
 01.48
01.48
 Media Grassindo
Media Grassindo

 
   
   
   
   
   
   
   
 

 
  
0 comments:
Posting Komentar