
Pada waktu umat manusia dalam kegelapan dan suasana  jahiliyyah, lahirlah  seorang bayi pada 12  Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi yang dilahirkan  bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi tersebut  bernama  Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan  iaitu sewaktu baginda 7  bulan dalam kandungan ibu.  Ibunya bernama Aminah binti  Wahab. Kehadiran bayi itu  disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke  ka'abah,  kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum  pernah wujud  sebelumnya. Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu  kedatangan wanita dari Banu  Sa'ad. Adat menyusukan bayi  sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan  Arab di  Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama  Halimah bin  Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu  menerima baginda kerana Muhammad seorang  anak yatim.  Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke  pedalaman  dengan harapan Tuhan akan memberkati  keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad  sebagai anak susuan,  kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2  tahun di Sahara dan sesudah itu  Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke  pedalaman. Kisah Dua  Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka  bertanggungjawab untuk  membedah Muhammad. Pada ketika  itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan  kejadian  tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan  kedatangan kedua  malaikat tersebut lalu mengkhabarkan  kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa  keadaan  Muhammad, namun tiada kesan yang aneh ditemui. Muhammad tinggal  di pedalaman bersama keluarga Halimah  selama lima tahun. Selama itu baginda  mendapat kasih sayang,  kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah  dan  keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada  datuknya Abdul  Mutallib di Makkah. Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi  baginda.  Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk  bertemu dengan  saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm  Aiman, budak suruhan perempuan yang  ditinggalkan oleh bapa  baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah  serta  tempat dia dikuburkan. Sesudah sebulan mereka berada di Madinah,  Aminah pun  bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan  rombongannya  kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang  memang dibawa dari Makkah semasa  mereka datang dahulu.  Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula  jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ  juga. Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang  sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai  seorang anak yatim piatu. Tinggallah  baginda dengan datuk  yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya. "Bukankah  Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia  melindungimu. Dan Dia  mendapatimu sebagai seorang yang  bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah  Ad-Dhuha, 93 : 6- 7) Abdul Mutallib Wafat Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama.  Ketika  baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula  meninggal dunia. Kematian Abdul  Mutallib menjadi satu  kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan  berpengaruh dikalangan  orang Arab. Dia selalu menyediakan  makanan dan minuman kepada para tetamu yang  berziarah dan  membantu penduduk Makkah yang dalam  kesusahan. Muhammad  diasuh oleh Abu Talib Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih  tugas  bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad.  Walaupun Abu Talib kurang mampu  berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus  dan  terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib  menyayangi Muhammad  seperti dia menyayangi anak-anaknya  sendiri. Dia juga tertarik dengan budi  pekerti Muhammad yang  mulia. Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung  ke Syam untuk  berdagang sewaktu Muhammad berusia 12  tahun, mereka  bertemu dengan  seorang rahib Kristian yang telah dapat  melihat tanda-tanda kenabian pada  baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke  daerah Syam  kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut  nasihat rahib  tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta  dari perjalanan tersebut. Dia  pulang segera ke Makkah dan  mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga  telah  menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka  ke  pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak  oleh penyair-penyair  terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab. Baginda  juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing  keluarganya dan kambing penduduk  Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung  tentang kejadian  alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda  jauh  dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi.  Baginda terhindar daripada  perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu  "Al-Amin". Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah  binti Khuwailid, seorang  peniaga yang kaya dan dihormati.  Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh  ikhlas dan jujur.  Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia  meluahkan rasa hatinya  untuk berkahwin dengan Muhammad  yang berusia 25  tahun ketika itu. Wanita  bangsawan yang  berusia 40  tahun itu sangat gembira apabila Muhammad  menerima  lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran  baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri. Turunnya Wahyu Pertama Pada usia 40  tahun, Muhammad telah  menerima wahyu yang  pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam  kesunyian, memikirkan  nasib umat manusia pada zaman itu.  Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan  menyuruhnya  membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad. "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq,  96 :  1) Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti  oleh  Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila  semangat baginda mulai pulih,  diceritakan kepada Khadijah  tentang kejadian yang telah berlaku. Kemudian  baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi  bermula dengan kaum kerabatnya  untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang  mempercayai kenabian  baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan  ajaran baginda.Dakwah  yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja. Dakwah  Secara Terang-terangan Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk  berdakwah  secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula  menyebarkan ajaran Islam secara  lebih meluas. "Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang- orang yang musyrik."  (Al-Hijr, 15 :94) Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran  yang  dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para  pengikut baginda  termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda  sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia  selalu melindungi anak  saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum  Quraisy itu. Lalu dia  bertanya tentang rancangan Rasulullah  seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang  bermaksud: "Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku  menghentikan seruan ini, aku  tidak akan menghentikannya  sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru  atau aku  binasa kerananya" Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan,  penderitaan,  cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang  jahil dan  keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan  Rasulullah sahaja yang menerima  tentangan yang sedemikian,  malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan  tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat. Wafatnya Khadijah  dan Abu Talib Rasulullah  amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu  terutama kaum Quraisy kerana  baginda tahu akan akibat yang  akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu  makin  bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun  sepuluh  kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan  Islam dan mengorbankan jiwa serta  hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu  menghiburkan  Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan. Pada tahun  itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang  mengasuhnya sejak kecil juga  meninggal dunia. Maka  bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda. Hijrah Ke Madinah Tekanan orang-orang kafir terhadap perjuangan  Rasulullah  semakin hebat selepas kepergian isteri dan bapa saudara  baginda. Maka  Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman  daripada kafir Quraisy untuk  membunuh baginda. Rasulullah disambut dengan  meriahnya oleh para penduduk  Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala  penduduk- penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda  diterima baik  oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan  sebuah negara Islam didirikan di bawah  pimpinan Rasulullas s.a. w sendiri. Negara Islam Madinah Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk  Yahudi serta kaum  bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi  Muhammad s.a.w berjaya juga menubuhkan  sebuah negara  Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan  perundangan yang  berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik  sebagai ketua agama, tentera dan  negara. Semua rakyat  mendapat hak yang saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi  beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara  semua rakyat termasuk kaum bukan  Islam dan merangkumi  aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar undang-undang  Madinah. Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun  begitu,  aspek pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara.  Rasulullah telah menyertai 27  kali  ekspedisi tentera untuk mempertahan dan  menegakkan  keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah  Perang Badar  (623  M/2  H), Perang Uhud (624  M/3  H), Perang  Khandak (626  M/5  H) dan Perang  Tabuk (630  M/9  H). Namun  tidak semua peperangan diakhiri dengan  kemenangan. Pada tahun 625  M/ 4  Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin  Makkah. Maka dengan  itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf.  Nabi Muhammad s.a.w. juga telah  berjaya membuka semula  kota Makkah pada 630  M/9  H bersama dengan  10 000  orang para pengikutnya. Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah  Perang  Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat  kemenangan. Pada tahun  berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan  100 000  orang  pengikutnya. Baginda  juga telah menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia,  ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha  Esa dan kamu semua adalah daripada satu  keturunan iaitu  keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-mulia manusia di antara  kamu di  sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku  telah tinggalkan kepada  kamu dua perkara dan kamu tidak akan  sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang  teguh dengan  dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah  Rasulullah." Wafatnya Nabi  Muhammad s.a.w Baginda  telah wafat pada bulan Jun tahun 632  M/12  Rabiul Awal tahun 11  Hijrah. Baginda  wafat setelah selesai melaksanakan  tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara.  Baginda berjaya  membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang  pemimpin  yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan.  Rasulullah adalah contoh  terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.
Jumat, 04 Februari 2011
Nabi Muhammad saw
 09.18
09.18
 Media Grassindo
Media Grassindo
 
 
 
 
 
   
   
   
   
   
   
   
 

 
  
0 comments:
Posting Komentar